Senarai Kek Pilihan

Kek memang menjadi kegemaran Anak-anak umi; Umi's Cup Cake.

Pelbagai Jenis Sayuran

Buntu Kadang-kadang memikirkan tapi anak-anak umi mesti makan sayur.

Pelbagai Menu Nasi

Malaysia kaya dengan pelbagai menu nasi...meh tengok yang umi dah cuba

Pelbagai Menu Ayam

Anak-anak dengan ayam memang suka..dan terikut upin ipin...

Pelbagai Menu Roti

Umi paling suka dengan bau roti yang panas-panas...memang suka.

Showing posts with label buahan. Show all posts
Showing posts with label buahan. Show all posts

Monday, November 16, 2015

Kek Pisang Lembap dan Lembut sangat

Assalamualaikum...

Lama benor tak tulis apa-apa tapi masih aktif di instagram..malas menjadi-jadi ye... macam musim tengkujuh je...
Minggu depan..anak-anak dah mula cuti sekolah...maka sebagai ibu.. lagi la kena ligat pikirkan menu untuk anak-anak yang bercuti..duduk di rumah..mengunyah memang sentiasa..alasan palin best.. umi lapar la.. tak banyak makan..padahal.. baru je makan nasi kan...
Bila tengok anak-anak seronok makan.. lagi la berkobar-kobar nak masak segala macam jenis makanan yang diaorang suka nak makan...tak kira la berat ke ringan..akan diusahakan.. hilang penat lelah bila makanan tu habis dan bertambah keluarga makan kan...
Kek pisang ni salah satu minum petang yang umi buat untuk anak-anak di rumah.. umi buat dua adunan.. satu lagi suami bawa..dan lagi satu adunan untuk makan di rumah..mudah..sedap dan memang lembut..tak rugi cuba... umi salinkan semula ya... cuba...makan masa suam-suam dalam keadaan luar rumah hujan.. nikmat yang tidak didustkan... Alhamdulillah...

KEK PISANG LEMBAB DAN LEMBUT
Resepi Oleh : Auntie Yatie
Rujukkan: Yatie ,
dan  Kak Azlita 
350 gm pisang yang masak ranum
200 gm gula halus
3 biji telur A
1/2 sudu teh ovellete ~ optional
250 gm tepung - umi guna tepung kek
1 sudu teh baking powder - umi tak letak
100 ml susu segar atau susu cair
125 gm minyak jagung atau butter di cairkan
1 sudu teh esen pisang atau esen vanilla
pisang di hiris nipis-nipis untuk hiasan
badam cincang ~ jika suka

Jika menggunakan mentega atau butter, cairkan butter terlebih dahulu biarkan sejuk.
Untuk kek yang ita sedikan , ita menggunakan butter yang di cairkan.
Tepung gandum pula di campurkan bersama baking powder dan di ayak
Pisang di lumatkan dengan garfu atau senduk kayu
Masukkan pisang ke dalam mixer bersama gula halus dan putar hingga gula larut dan sebati
Masukkan telur satu persatu dan terus putar hingga gebu.
Jika suka kek yang sedikit spongy, letakan 1/2 sudu teh ovellete. Jika tak letak pun tak apa, tapi pastikan adunan telur di pukul sampai kembang dan gebu dan  bertukar warna pucat keputihan.
Kemudian barulah masukkan susu segar atau susu cair ~ ita guna susu segar
Terus putar
Perlahankan mixer dan masukkan tepung, putar hingga adunan sebati.
Jangan lama sangat, angar tepung sebati.
Tutup mixer
Tuangkan minyak jagung atau butter cair dan kaup balik adunan hingga rata

Sediakan loyang 8 x 8 atau 7x7 inc
Gris dengan butter dan lapik dengan kertas minyak
Panaskan oven 170 C api bawah dan 150 C api atas. ( jika ikut resepi yatie dia bakar menggunakan api bawah sahaja. Tapi ita menggunakan api atas dan bawah tapi yang api atas ita kurangkan suhunya)
*Oven ni kita kena panaskan 15 minit awal ya, sebelum kita masukkan kek.

Tuangkan adunan ke dalam loyang
Jika nak hiaskan dengan kepingan pisang, potong kepingan pisang nipis-nipis. Kalau ada sagat untuk buat kerepek pisang boleh gunakan, kalau tak ada potong dengan pisau tapi nipis-nipis. kalau tebal nanti ia tenggelam
Taburkan badam cincang di atasnya jika suka

Bakar dalam oven dengan suhu yang ita cadangkan tadi selama 50 minit ~ 60 minit
Bergantung pada kepanasan oven masing-masing.
Untuk pastikan kek dah masak, cucuk dengan lidi, di bahagian tengah menyerong. Jika lidi keluar kering, menandakan kek dah pun masak. Jika lidi masih basah, bakar semula dan tambahkakan masa lagi 5 ~ 10 minit.

Bila kek dah masak, sejukkan dalam 10 minit dan terbalikan atas redai
Kek ni kalau di biarkan semalaman, permukaan atas kek akan lembab dan macam basah-basah gitu.
Sedap sangat...!

Thursday, July 2, 2015

Air Bandung Starwberry..yummy..semudah 1 2 3

 Assalamualaikum dan selamat sejahtera
Nampak selera je kan air ni..memang pun... kali pertama umi jumpa..hihi..ini resepi air dari adik umi masa berbuka puasa di kampung.. memang sedap dan menyegarkan... tak cukup segelas... airnya pun mudah sangat nak buat.. hanya perlukan 3 bahan asas....
Ini rezeki ramai2 di rumah ibu umi..seronok kan bila berbuka ramai2.. ada roti john, kuih karipap, puteri ayu, tako, popia, onde-onde, udang butter, ayam masak kicap, sayur campur dan kerapu masak 3 rasa... memang terasa rasa ditekak..
ok la..bagi yang nak mencuba air bandung strawberry ini..boleh la cuba..pastinya air bandung tu tak ber'kaki'...meh la cuba..

Resepi : Air Bandung Strawberry
Sumber ; Umi's Cup cake

Bahannya :-
1 botol 1.5 liter F& N Strawberry (contoh kat bawah botol kecik)
F&N Carbonated Drinks 500ml - Strawberry
Ais Secukupnya
Susu Cair secukupnya
Bekas atau Jag

Caranya:-
1. Isikan Jug dengan ais sehingga 3/4 tinggi jug
2. Masukkan F & N Strawberry
3. Masukkan susu cair
4. Kacau hingga larut
5. Siap utk di minum..

Friday, February 6, 2015

Sengkuang Calit...So simple but yummy

Assalamualaikum dan salam jumaat
Makan apa tengahari ni? umi bawak bekal..bekal apa? sengkuang calit tau..haha.. kelako kan... menu simple tapi sedap ini..boleh di makan tapi jangan kerap sangat..sebab sengkuang ni diketegorikan makanan 'sejuk'... kang ada yang sakit sana..sakait sini.. maklum la..metabolisme dah kurang..eh..apa kaitan ye?..hihi
Sebenarnya banyak dah gerai buah jual sengkuang calit macam ni... umi punya special sedikit sebab kuah rojak Mak Bee ini dibawa khas oleh ayah mertua umi... memang terbaik la kan... sesuai untuk minum petang dan bagi orang yang diet..diet la sangat kan...
bagi yang belum pernah mencuba..boleh la mencuba.. Malaysia kan kaya dengan pelbagai jenis makanan yang kreatif dan sedap2... nak resepi? jangan malukan umi la...tapi kalau rasa nak buat kuah rojak sendiri, boleh tengok kat blog Hasue..mudah je...

Thursday, November 20, 2014

Puding Jagung Kastard Banjir

Assalamualaikum dan salam sejahtera
Musim tengkujuh datang lagi..ada beberapa kawasan telah pun dinaiki air...minggu ini juga merupakan minggu terakhir cuti sekolah.. harap2 anak2 semua berhai-hati..jangan main air banjir..takut bahaya mengundang nanti..nauzubillah..mohon jauh semua tu...
Tapi kalau nak makan Puding Jagung Kastard Banjir ni tak pe...makan berulang kali pun boleh... kenapa banjir? hihi... Nampak tak gambar yang diatas tu..kan ke banjir dengan kuah koktail.. sesekali nak gempak la konon... nak promo blog pun iya jugak..hihi.. ok lah..bagi ibu2..resepi ini digalakkan di cuba memandangkan musim hujan ni..perut selalu menyanyi lagu keroncong... kalau nak makan puding jagung sahaja tanpa kuah pun boleh..penyediannnya mudah dan cepat...In sya Allah puas hati..terima kasih kak Ana Elianas dan Kak Madihaa.. sayang ketat2...
 
PUDING KASTARD JAGUNG

Resepi : Ana Elianas


Bahan-bahannya:-

1 tin jagung jenis creamy
1 tin susu cair - prefer susu IDEAL (nak wat susu lain pun boleh...tapi jenama ni cam wangi jer puding tu)
3 cawan air
1 1/2 cawan gula pasir
1 1/2 cawan tepung kastad

Cara :-

1. Bancuh tepung kastard dengan air hingga sebati kemudian masukkan semua bahan2 lain dan bancuh rata.
2. Masak puding dengan menggunakan api yang kecil...hinggalah masak (kental & berkilat). (MaDiHa masak guna kuali)
3. Masukkan ke dalam loyang atau talam.
4. Bila sejuk masukkan dlm peti sejuk sebelum dipotong.
 
 
Untuk kuahnya umi cuma tambah sendiri...
 
Bahan2 Untuk Kuah: 

1 tin susu cair
1 tin buah koktail campur
1 tin air (guna sukatan dr tin buah koktail juga) 

Cara-cara: 
  1. Masak susu dan air dengan api yg perlahan sampai didih. 
  2. Masukkan buah koktail dengan air gulanya sekali. 
  3. Biarkan kuah mendidih. 
  4. Tutup api.
  5. Sejukkan dahulu dan kemudian masukkan dalam peti ais. 
Resepi Puding Jagung Kastard Banjir ;-
  1. Potongkan puding jagung dan isikan di dalam mangkuk. 
  2. Tuangkan pula kuah koktail sehingga 3/4 dari paras puding jagung. 
  3. Puding Jagung Banjir boleh dinikmati.

Wednesday, November 12, 2014

Pengat Labu + Jagung Manis

Assalamualaikum dan selamat sejahtera


Salah satu entry tertungak dari umi...hihi...sesuai untuk minum petang dan hasilnya amat puas hati...pengat ini sangat lemak dan berkrim dan in sha Allah disukai ramai...kerana umi bukan sahaja menggunakan gula pasir yang biasa tetapi  menambah gula melaka... cuba dan rasailah kelainannya...lebih2 lagi jika kita masak dengan ikhlas dan sambil zikirullah...apa tunggu lagi..semaklah bahan dan jom cuba....


Resepi Pengat Labu dan Jagung Manis

Bahanya:-
4 cawan jagung manis
1/2 biji labu 
1/2 cawan gula putih 
3 sudu besar gula melaka 

1 cawan pati santan 
3 helai daun pandan 
4 cawan air 
1/2 sudu kecil garam


 
Caranya:-
  1. Bersihkan labu dan potong dadu.  
  2. Masukkan labu dalam periuk dan rebus dengan 4 cawan air bersama daun pandan. Biarkan air mendidih.
  3. Apabila labu dah lembut, masukkan gula melaka,putih, jagung manis dan garam. 
  4. Akhir sekali masukkan santan dan kacau 5 minit.Matikan api.

Tuesday, December 10, 2013

Simple Brownies Kak Fida

Assalamualaikum dan Selamat petang

'' Wahai bumi telanlah airmu dan wahai langit berhentilah drpd curahan hujanmu" (Surah Hud: 44) 

Pagi ini umi dapat perkhabaran rakan2 di Dungun, rumah mereka pula banjir.. walaupun selama ini tidak pernah banjir...seperti di Kuantan.. Semoga sabar dengan ujian yang Allah berikan... sesungguhnya anda adalah insan terpilih...

Ini adalah resepi mudah dari kak fida di Myresepi... mudah dan sedap sangat..lebih2 lagi resepi ini tak guna mixer...kacau2 je...umi buat 2 adunan untuk keluarga kecil umi dan anak2 sahabat umi yang suka makan brownies... maklumlah cuti sekolah dan cuaca yang sejuk memang perut berkeroncong minta diisi... mohon izin dari kak fida dan terima kasih atas pengkongsian ini...Semoga Allah melimpah ruahkan rezeki kak fida
Resepi: Simple Brownies
Oleh: Kak Fida
Bahannya:
  • 115 g mentega - di cairkan,sejukkan
  • 1 cwn gula halus (195 g)
  • 1 sk esen vanilla
  • 2 biji telur
  • 1/2 cwn tepung gandum (60 g)
  • 1/3 cwn serbuk koko (25 g)
  • 1/4 sk baking powder
  • 1/4 sk garam(opt)

Caranya:

  1. Campurkan mentega, gula, vanilla dan telur. Gaul rata.
  2. Kemudian masukkan tepung, b. powder, koko yg di ayak bersama.Gaul lagi hingga sebati.
  3. Tuang adunan ke dalam loyang yg dialas dan digris. (utk selera anak2, saya taburkan kekacang dan choc chip di atas adunan)
  4. Bakar pd suhu 160C selama 20- 25 min.

Wednesday, December 4, 2013

Kuah Durian & Roti Naik Pahang

Assalamualaikum dan selamat pagi
Apa khabar sahabat umi? Semoga semuanya dilindungi Allah terutamanya mangsa banjir di 3 negeri iaitu Johor, Pahang dan Terengganu... sahabat umi di Kuantan kata tak pernah banjir seteruk ini dan rumah ayahnya yang berpuluh tahun duduk pun banjir... ini semua pasti ada hikmahnya kan... Hanya kita perlu bersangka baik terhadap Allah...in sha Allah, semuanya akan baik...
ok la berbalik pada menu yang tak seberapa ni...umi buat kerana permintaan suami dan tak nak membazir buah durian yang kurang manis di beli oleh suami umi... resepi yang amat mudah... umi tak ada sukatan yang tepat, tapi bagi yang hendak mencuba... cara umi adalah sama macam resepi dari kak Nannie...kak nannie izinkan umi salinkan semula di sini ya...umi makan dengan roti naik pahang, kalau nak resepi boleh klik sini...kuah durian ini juga enak dimakan dengan roti jala, biskut kering...selamat mencuba...

Resepi : Kuah Durian
Oleh : Kak Nannie

Bahannya:-
  • 15 ulas buah durian
  • 3 cawan santan pekat
  • 1-2helai daun pandan
  • Gula secukup rasa ikut citarasa masing-masing la ya
  • Secubit garam

Caranya:-

  1. Satukan semua bahan dalam periuk dan kacau kemudian masak sehingga kuah durian ini menjadi pekat . 
  2. Cuba rasa gulanya jika kurang boleh la ditambah , sedikit garam di masukkan dalam kuah ini bagi timbul rasa lemak manis buah durian ini . 
  3. Nak masak kuah durian ni ikut pada citarasa sendiri sebenarnya kalau tak suka kuah terlalu pekat tambah la sedikit air .

Jika suka banyak durian boleh la ditambah lagi durian ikut la pada cita rasa masing-masing

Friday, November 29, 2013

Kacang Kuda Rebus Ala Terengganu

Assalamualaikum dan selamat pagi
Apa khabar sahabat umi semua.. hari ini umi nak kongsikan bukan la resepi sangat dan mungkin ada yang kata ini pun nak kongsi ke? hihi... tak kisah la cuma ini untuk rujukan dan tatapan anak umi kelak... walaupun nampak simple tapi cukup bermakna untuk umi...
Sebenarnya setiap kali umi dan suami balik kampung di terengganu...inilah salah satu makanan kegemaran yang sering kami beli dan tak puas makan...walaupun orang tua cakap nanti kembung perut..hihi.. oleh kerana tak puas makan dan kadang2 tak ada jual..dan memandangkan yang ada jual kat KL ini pun tak memenuhi citarasa... umi dicabar oleh suami umi untuk buat...oleh itu, (eceh) demi menyahut cabaran... umi pun buat la... jawapan suami umi, alhamdulillah kira 90% menjadi...kembang rasa hati... bagi yang nak cuba, boleh la mencuba ya...

Resepi : Kacang Kuda Rebus Ala Terengganu
Oleh ; Umi's cup cake

Bahannya :-
  • 500 gm kacang kuda (rendam sampai betul2 kembang -semalaman dan ganti air jika perlu)
  • 200 gm gula pasir
  • garam secukup rasa
  • air untuk merebus hingga kacang empuk
Caranya:-
  1. Rendam kacang kuda dengan air biasa (bukan air panas) sehingga betul2 kembang, mungkin mengambil masa semalaman.
  2. Rebus kacang kuda sehingga empuk atau lembut.
  3. Masukkan gula dan garam. rebus lagi sehingga gula hancur. Tutup api.
  4. Toskan air rebusan. Sedia untuk dimakan.

Thursday, November 28, 2013

My Cutety Kismis Cake

Assalamualaikum dan selamat pagi
Maaf ye kepada empunya resepi sebab kek cawan umi tak cute macam yang empunya resepi iaitu Nina Mirza...umi punya dalam cup yang gedabak besar..tak sesuai nama cutety tu sebenarnya..hihi.. umi sebenarnya nak pecah dara deep muffin tray, hadiah dari sahabat umi di New Zealand...iaitu Halina Majmin... this is so meaning full gift...
Oleh kerana ia deep muffin tray..jadi kek cawan umi pun besar la ya..hihi... apa pun resepi ni memang sedap dan lembut serta gebu...yummy... terima kasih nina mirza atas perkongsian resepi ini...
umi salin semula sebagai rujukan..bagi nak tengok yang cutety boleh klik kat nama nina tu ya...

Resepi : My Cutety Kismis Cake
By ; Nina Mirza (Corat coret Nina)

Bahannya:-
  • 2 biji telur
  • 1 cawan tepung gandum- diayak
  • 1/2 sudu teh soda bikarbonat - diayak
  • 1/2 cawan gula perang
  • 1/2 cawan air
  • 1/2 buttercup
  • 1/2 cawan kismis - umi ganti dengan buah2an kering
Caranya :-
  1. Sediakan periuk. Masukkan gula perang, air, buttercup dan kismis.Masak diatas api yang perlahan sehingga sebati. Tutup api.
  2. Biarkan sejuk seketika.
  3. Di dalam mangkuk yang lain, satukan telur, tepung dan soda bikarbonat.Gaul sebati.
  4. Masukkan ke dalam adunan yang telah disejukkan tadi. Gaul sebati.
  5. Tuangkan adunan ke dalam cawan kek.
  6. Bakar kek pada suhu 180 darjah selama 15-20 minit atau sehingga masak.
  7. Sedia dihidangkan.

Tuesday, November 26, 2013

Victoria Sandwish Cake untuk ulangtahun pernikahanku..

Assalamualaikum dan Selamat Tengahari
Alhamdulillah...bersyukur ke hadrat ilahi... hari ini 26hb November 2013 genap 7 tahun usia perkahwinan umi dan suami...waktu yang agak singkat berbanding orang lain tapi cukup bermakna buat keluarga kecil umi...
Doa untuk suamiku…
Bismillahirrahmanirrahim….. Dengan menyebut asmaMu ya Allah yang Maha Kasih dan Sayang… Puji syukurku atas segala nikmatMu untuk ku… Telah kau berikan aku satu pendamping hidup 
Yang senantiasa setia menjaga dan melindungiku..
Berjalan sejajar denganku.. Yang dengan cinta dan sayangnya mampu menghapus segala lara… 
Yang segala hidupnya diserahkan untuk menyayangiku…. Yang dengan cintanya padaMu mampu mengecup hatiku ketika ku berduka..
Ya Allah kumohon PadaMu… Kini berilah ia kemudahan dalam melangkah.. Berjuang mencari keRidhoanMu… Berjuang menjemput Rezeki yang Kau takdirkan untuknya… Berjuang untukku dengan cintanya padaMu….
Ya Allah Maha pengabul doa… Terimalah berjuta doa dan harapku… 
Balaslah segala keluhuran dan kesabarannya Balaslah segala kebaikan juga amarahnya Dengan CintaMu….
Ya Allah Sang Pemilik Hati…. Sampaikan berjuta sayangku untuknya… 
Sampaikan sejuta cintaku padanya… Dan sampaikan terima kasihku yang sangat untuknya… 
Kerana telah bersedia menyatu dalam satu rasa… Dengan segala macam kunci syurga yang kau Pilihkan untukku..
Ya Allah sampaikan salamku pada baginda Rasulullah… Yang telah begitu banyak mengajarkan cinta dan kasih sayang… Sungguh Engkau Maha Mengetahui segala isi hati… Maka kabulkanlah doaku…..
Amin ya Rabbal ‘Alamin………
Untuk ulang tahun ini umi memang dah lama teringin nak buat kek Victoria Sandwish ni.. alkisah nak buat jem sendiri sebab lupa nak beli...hihi... tetapi naluri si suami mengatasi segalanya bila suami umi belikan jem rasberry yang sedap bila balik dari New Zealand... Alhamdulillah, terharu dan tak terkata...
Jem rasberry ini amat sedap dan maka tertunailah hajat nak buat kek yang simple tapi amat memikat ni...nanti nak buat lagi dan lagi la... ok la bagi yang nak resepi kek ini, umi kongsikan resepi kek yang amat mudah tapi sedap sangat ni...cuma umi tak buat dalam 2 loyang (malas), umi potong dua bila dah masak kek tu...sapukan jem dan lapiskan semula...
Resepi : Victoria Sandwish Cake
Oleh : Umi's Cup Cake
 
Bahannya:-
  • 250 gm butter
  • 200 gm gula castor
  • 250 gm tepung kek
  • 5 biji telur (saiz b)
  • 2 sudu teh esen vanila
  • Jem Rasberry secukupnya utk sapu pd kek
  • gula ising secukupnya untuk ditabur atas kek
Caranya:-
  1. Panaskan oven suhu 150C dan sediakan acuan kek 2 biji ukuran 7 inci yg dialas dgn kertas kek
  2. Ayak tepung kek.
  3. Putar butter dan gula sehingga kembang dan gebu.
  4. Masukan telur satu persatu sambil diputar perlahan (selang 5 minit setiap satu) dan masukkan esen vanila.
  5. Masukkan tepung dan kaup balik dengan senduk hingga sebati.
  6. Bahagikan adunan menjadi 2 bahagian dan ratakan ke dalam 2 tin kek tadi dan bakar selama 45 minit.
  7. Sejukan kek dan sapu jem diatas sebiji kek dan lapiskan dgn sebiji lagi kek..
  8. Akhir sekali hias dengan buah strawberry dan blueberry... tabur diatas kek dgn gula ising.

Tuesday, November 12, 2013

Kek Pisang Kak Besah

Assalamualaikum dan selamat pagi...
Salah satu resepi yang amat umi suka cuba bila ada lebihan pisang yang masak ataupun memng beli pisang untuk buat kek... memandangkan suami umi memang peminat tegar kek pisang... kiranya ku yang dulu, kini dan selamanya suka makan kek pisang... cuma umi ada tambah sedikit coklat cip...coklat lagi...ish2..memang akan gebu la badan umi yang sedia gebu ni... tapi umi nak cerita, kek pisang kak besah ni lagi gebu gebas tau... i tell u... memang tak rugi mencuba...terima kasih kak besah atas pengkongsian ilmu ini yang menyebabkan suami umi bertambah sayang pada umi...anak2 pun sayang...hik hik... meh la tengok resepinya....

Bahan-bahan ( seisi keluarga )

  • 3 cawan tepung gandum(300g)
  • 2 cawan pisang lecek/lenyek
  • 1 1/4 cawan minyak masak(230g)
  • 1 cawan gula pasir(200g)
  • 4 biji telur
  • 1 1/2 sudu makan (1 1/2 penutup botol soda tu) bicarbonate soda
  • secubit garam

Cara-cara

  1. Lenyek pisang masak dgn gelas plastik.(jgn di blend,nanti x nampak jalur2/urat2 pd kek = x cantik)
  2. Campurkan bicarbonate soda ke dalam pisang; lenyek lagi hingga pisang berbuih. jika soda berketul,ayak dgn penapis teh trus kdlm pisang. bagi yg tak biasa dgn carani, boleh ayakkan bicarbonat soda tu dgn tepung.
  3. Blend telur & gula (guna blender cili je) hingga berbuih & gula hancur .pastu masukkan minyak & blend dlm 5 saat.lepastu campurkan bahan yg diblend td dgn pisang,gaul dgn senduk akhir sekali campurkan tepung sambil digaul sebati.jgn di blend.guna senduk saja.
  4. Masukkan kedalam acuan yg telah disapu minyak @ majerin, serta telah dipanaskan terlebih dulu. bakar lh dlm suhu 180'c selama lebihkurang 40 mnt.
  5. Yg dlm gambar ni,saya potong semasa masih suam,so x nmpak coraknya.jika dibiar betul2 sejuk @ beberapa jam,kek akn bertambah gelap dgn jalur2 pisang yg ketara....
  6. Selamat mencuba.. insyaallah x kantoi...
  7. # cara memasukkan sodabicarbonate tu boleh juga dgn mengayakkannye brsama tepung #

Tuesday, September 10, 2013

Tempahan Puding Hantaran, Nasi Miyak dan Kek Buah je...

Assalamualaikum dan selamat petang...
Alhamdulillah..rezeki minyak naik 20 sen...hihi...makin suam-suam kuku dan makin banyak sawang kat blog ni kan... bukan umi tak buka..buka setiap hari tapi masa untuk update tu agak terhad..(sebenarnya kering idea..hihi)... hari ni pula, umi nak cerita pasal tempahan oleh jejiran rumah umi dan rakan2 opis umi...kira macam biznes sambilan...
Jangan betulkan cermin mata ya...memang puding hantaran ini warnanya biru...kira biru mata hitam ku la ni...ikut tema keluarga dan hantaran yang ditempah oleh keluarga pengantin...Alhamdulillah, sahabat umi berpuas hati... lega rasa hati macam tu... jangan lupa untuk tempah lagi ya...
Yang kedua adalah kek buah... untuk minggu lepas, umi terima tempahan 5 buku kek buah... 2 untuk opis, 2 untuk Kak Rohani (jiran Umi) dan 1 untuk Kak Ida (juga jiran umi, hihi)... seronok dapat buat kek buah ni..kek buah tanpa telur dan gula...jimat telur dan gula la kiranya... yang berpantang makan telur, boleh la makan kek buah ni dengan senang hati... nak tempah? boleh area Gombak dan seangkatan dengannya ya..kawasan KL yang lain akan dipertimbangkan..hihi...
Yang ketiga adalah tempahan nasi minyak oleh Kak Yang Asiah untuk majlis merisik di rumahnya... first time buat untuk tempahan membuatkan hati umi berdebar... Alhamdulillah bak kata Kak Yang, nasi ni yang abis dulu walaupun banyak makanan sampingan lain seperti soto nasi, sate, bihun sup, manisan dan lain-lain...
 Ini pula acar yang digandingkan untuk dimakan dengan nasi minyak di atas...
Semua rezeki itu datang dari Allah, terima kasih kerana sudi berkongsi rezeki dengan saya... Alhamdulillah...

Wednesday, August 28, 2013

Puding Jagung Koktel

Assalamualaikum dan selamat pagi
 
Apa khabar semua sahabat umi? macam mana dengan pagi ini..semoga ceria dan dirahmati Allah selalu... sekarang ni masih ada lagi yang memenuhi jemputan rumah terbuka dan opis terbuka juga kan..meriah dan seronok gitu....Disamping itu, meriah juga tengok rumah dan kereta berhiaskan bendera Malaysia...
Seronok anak2 umi bila tengok kereta macam tu...masa ambil dari rumah pengasuh pun becok mulut tunjuk semua rumah yang ada bendera...pastu, minta rumah umi pun ada bendera...macam2 la kan anak2 umi ni..hehe.. ok la hari ni umi cuma nak kongsikan resepi yang sangat simple...puding jagung berkoktel...asalnya hanya puding kagung tapi gatal nak tambah koktel...hehe...umi ambil dari Dapur kak Madihaa yang disayangi..untuk versi kak madihaa..klik sini...terima kasih kak sebab sudi berkongsi rasa....selamat mencuba

PUDING KASTARD JAGUNG

Resepi : Ana Elianas
Sumber MaDiHaA aka Ratna


Bahan-bahannya:-

1 tin jagung jenis creamy
1 tin susu cair - prefer susu IDEAL (nak wat susu lain pun boleh...tapi jenama ni cam wangi jer puding tu)
3 cawan air
1 1/2 cawan gula pasir
1 1/2 cawan tepung kastad 
1 tin buah-buahan Koktel - ambil buah sahaja...(umi tambah)

Cara :-

1. Bancuh tepung kastard dengan air hingga sebati kemudian masukkan semua bahan2 lain dan bancuh rata.
2. Masak puding dengan menggunakan api yang kecil...hinggalah masak (kental & berkilat). (MaDiHa masak guna kuali)
3.
Masukkan buah-buahan koktel. Kemudian masukkan adunan jagung ke dalam loyang atau talam.
4. Bila sejuk masukkan dlm peti sejuk sebelum dipotong.

Wednesday, August 21, 2013

Selamat Bersua Kembali & Kek Buah Bakar

Assalamualaikum dan Selamat Hari Raya

Apa khabar semua sahabat umi? Maaf kerana terlalu lama menghilangkan diri... umi terpaksa kerana keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan... ada darah beku di kaki umi dan umi dimasukkan ke wad selama hampir 2 minggu... dan umi diberi cuti sakit hampir 2 minggu juga... ini bermakna umi cuti kira-kira sebulan...ini kerana umi tidak boleh berjalan dengan betul...kini umi masih lagi perlu fisioterapi untuk kaki umi kembali sedia kala...

Rindu nak menulis dan berkongsi di sini... namun memandangkan keadaan tidak mengizinkan...umi hanya sebagai silent reader sahaja...umi harap tidak terlewat untuk umi mengucapkan SELAMAT HARI RAYA DAN MAAF ZAHIR BATIN kepada semua sahabat umi... doakan agar kesihatan umi pulih seperti sediakala...untuk mengubat rindu, umi nak kongsikan kek buah bakar yang pada umi amat menepati citarasa....

 Kek ini tidak mengunakan gula dan telur pun...jadi bagi yang pantang tu boleh la makan kek buah...umi buat untuk jiran umi dan potluck untuk rakan haji suami umi....
 Ini chef yang tak sabar nak posing dengan kek buahnya...
Seperti biasa, suka betul menjilat dan katanya sedapnya umi...Alhamdulillah

Resepi : Kek Buah Bakar
Oleh : Majalah Rasa

Bahannya :
  • 250 gram tepung gandum
  • 250 ml air
  • 250 gram mentega
  • 250 gram buah-buahan campuran
  • 1 tin susu pekat manis 
  • 1 sudu teh soda bikarbonat
  • 1 sudu teh esen vanilla

Caranya:-
  1. Sediakan periuk. Masukkan air, mentega dan buah-buahan campuran.
  2. Tunggu hingga didih dan buah-buahan ringan.
  3. Masukkan susu pekat dan tutup api. Biarkan sejuk seketika.
  4. Ayakkan tepung gandum dan soda.
  5. Masukkan ke dalam adunan buah-buahan.
  6. Kacau sehingga sebati dan jangan terlalu lama.
  7. Masukkan esen vanilla.
  8. Bakar dengan suhu 180 darjah selama 45 minit.

Tuesday, May 21, 2013

Doa Hari Lahirku... Alhamdulillah & Kek Buah Kukus Chahaya Shiela

Assalamualaikum dan Selamat pagi
 .... بسم الله الرحمن الرحيم....
YA Allah ya Tuhanku yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Terima kasih ya Allah untuk usia yang telah Engkau berikan. Terima kasih juga untuk setiap rezeki yang Engkau kurniakan. Terima kasih juga untuk setiap cubaan yang Engkau turunkan. Terima kasih untuk bakat dan ilham yang Engkau anugerahkan. Terima kasih kerana berikan keluarga bahagia yang Engkau amanahkan. Sesungguhnya terlalu banyak yang telah Engkau berikan kepadaku…. Tetapi terlalu sedikit pengabdianku terhadap-Mu

Engkau tetap menerima walaupun terkadang aku alpa, aku lupa. Aku silap dan khilaf menafsir makna setiap kurniaan dan dugaan. Namun begitu besarnya kasih-Mu….Engkau tetap melindungiku walaupun terkadang aku kalut merunggut ketika saat-saat lemahku datang. Aku tak pernah menafikan hak-Mu sebagai Khaliq walaupun terkadang terbuai dengan kesedihan yang amat perit.

Terima kasih ya Allah atas segala takdir yang telah Engkau tentukan untukku… Engkaulah Yang Maha Besar… Allahu Akbar!.. peliharalah aku yang lemah ini agar terus berpegang teguh pada tali-Mu…
Amin Ya Rabbil-Alamin.
Ni la kek hari lahir umi...hehe.. simple je dan yang penting sodap bebeno...resepi yang dikongsikan oleh kak Chahaya Shiela dan sedang menular dari satu blog ke satu blog... setiap hari umi nampak ada saja blog yang kongsikan kek ni... kek yang memang sedap bagi umi dan keluarga... jika allahyarham ayah umi masih ada, ini salah satu kek kegemaran ayah...
Umi kukus kek ni 3 jam sahaja...tak sabar nak tunggu 4 jam... dan bila dah betul2 sejuk... walla, benar bagai dikata..kek ni sedap sangat dan lembap... lebih sedap bila dah simpan lama sedikit... cuma warna kek umi ni tak gelap sangat..hehe... tak kisah la, yang penting sedap dan lepas kempunan nak makan kek buah kukus ini.. bagi sesiapa yang di Shah Alam, boleh la tempah terus dari kak shiela dan merasai air tangan kak shiela... yang di Kuala Lumpur pun boleh buat tempahan, cuma ada sedikit cas yang dikenakan... selain kek buah kukus, kek red velvet cheese brownies dan makaroni bakar... jangan segan untuk singgah di blog kak Chahaya Shiela...
Resepi : Kek Buah Kukus

Bahannya:
  • 250g butter @ seketul butter ( disarankan high quality butter)
  • 350g gula pasir
  • 60ml air panas
  • 500g buah-buahan campuran
  • 3 biji telur gred A
  • 350g tepung gandum*
  • 1 sudu kecil cream of tartar*
  • 2 sudu kecil soda bicarbonat* 
  • 1 sudu kecil serbuk buah pala/netmug*
  • 1 sudu kecil esen vanila
 Caranya:
  1. Masak gula hingga keperangan dan masukkan air panas perlahan-lahan. Sebatikan. Masukkan butter sehingga cair kemudian masukkan buah-buahan campuran dan juga susu pekat dan sunquik. Kacau kemudian sejukkan.
  2. Ayak bahan-bahan yang bertanda *. Masukkan ke dalam adunan mix fruits tadi sedikit demi sedikit menggunakan senduk kayu sehingga sebati.
  3. Mangkuk lain, pukul telur dan esen sehingga kembang dan masukkan perlahan ke dalam adunan kek dan gaul sebati menggunakan senduk kayu juga.
  4. Alas loyang 7x7 dengan kertas baking. Sapukan butter keliling dan tuangkan adunan kek ke dalamnya.Tutup loyang dengan aluminium foil.
  5. Kukus selama 4 jam untuk mendapat kelembapan yang diinginkan. (boleh dikukus 2 jam shj)
  6. Sejukkan kemudian potong. (Pastikan kek benar2 sejuk seeloknyer semalaman supaya kek dan buah tidak berderai dan padat ketika dipotong).
Petua supaya kek buah menjadi dgn jayanya. 

** Saya kukus 2 jam pertama guna api sederhana je dan 2 jam terakhir guna api kecil sahaja. Kalau nak tambah air pengukus, pastikan di tambah dngn air panas. Saya isikan air hampir penuh di pengukus supaya tak perlu tambah air masa mengukus, sedang elok je.

**Bila kek dah masak biarkan dlm 5 minit, barulah di buka penutup kukusan. Lapkan air yg terdapat di atas permukaan aluminium foil dan kelilingnya. Lubangkan kecil sedikit di permukaan aluminium foil supaya wap panas keluar. Bila dah 10 minit barulah buka keseluruhan aluminium foil dan biarkan kek di pengukus sehingga sejuk. Jika kek di angkat dari pengukus terus bila dah masak, buah akan turun.

**Potong kek bila betul2 sejuk. lebih baik di biarkan semalaman dlm tudung saji. Kek ni lebih sedap di makan selepas 2 hari, tapi saya makan je sbb dah terliur sangat...mmng sedap. Bila dah semalaman lagilah sedap dan bertambah moist kek buah ni.

Tuesday, May 7, 2013

Chocolate Bottom Banana Square sooooooo yummy

Assalamualaikum dan selamat pagi
Apa khabar semua sahabat umi yang jauh atau pun dekat... ramai yang telah bekerja hari ini setelah balik kampung menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia... Tahniah buat yang berjaya dan jangan lupa jalankan tanggung jawab yang telah diamanahkan dengan sebaik mungkin...
Ok la kita tinggalkan isu hangat tu dulu...ini umi nak cerita pasal kek pisang yang amat lazat, enak dan sedap di tekak umi... tak puas makan... kek ni lembut, lemak dan penuh rasa coklat... tak sedar makan punya makan sampai setengah loyang... terima kasih kak Siti Delima atas pengkongsian ini... dah lama nak buat tapi tak berkesempatan... baru2 ni ada pulak pisang dah masak sangat...apa lagi, pucuk di cita, ulam mendatang la... selama ni suami umi suruh buat cekodok pisang tapi umi minta izin nak buat kek Chocolate Bottom Banana Square ni... suami dan anak2 pun suka sangat... dan request nak lagi... balik nanti nak singgah beli pisang...
Tak rugi buat kek ni sebab kelazatannya tak terkata... menyesal sebab lambat buat... walaupun mudah tapi berbaloi2....apa tunggu lagi? Jom beli pisang.... 

Chocolate Bottom Banana Squares
Resipi Olahan : Che CT

Bahan-bahan:
113 gm mentega - dilembutkan
3/4 cawan gula kaster
1 biji telur A - dipukul ringan
1 camca teh esen pisang
1 1/2 cawan pisang masak - dilecek halus
1 1/2 cawan tepung gandum
1 sudu kecil baking powder
1/2 sudu teh baking soda
1/2 sudu teh garam
3 sudu besar serbuk koko
1/2 cawan cip coklat
50 gm coklat masakan

Cara-cara:

1. Dalam mangkuk adunan, pukul mentega dan gula hingga berkrim. Tambah telur, esen vanila, pisang lecek dan pukul sebati.
2. Dalam mangkuk yang berasingan, masukkan tepung gandum, baking soda, baking powder, dan garam yang tekah diayak kedalam adunan pisang tadi. Dan gaul rata.
3. Bahagikan adunan kepada 2 bahagian sama rata dan 1 adunan ditambah serbuk koko dan gaul rata. Tuang adunan koko kedalam loyang  9 x 13 inci persegi. Ratakan adunan dengan sudu atau spatula getah. Parutkan coklat masakan diatasnya.
4. Tuang baki adunan plain di atas dan dengan perlahan-lahan ratakan adunan dan taburkan dengan cip coklat atasnya.
5. Bakar pada suhu 180'C selama 30 minit atau sehingga lidi sate keluar bersih kek dah masak. Sejukkan sepenuhnya atas rak dawai dan dipotong 4 persegi.

Berapa usia Nazirah?

Lilypie - Personal pictureLilypie Angel and Memorial tickers

Berapa usia Ahnaf sekarang?

Lilypie - Personal pictureLilypie Angel and Memorial tickers

Berapa usia iris sekarang?

Lilypie - Personal pictureLilypie Second Birthday tickers

Kasih Sayang Kita Telah Bersemi

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Blog Archive